Ronaldo beri isyarat tinggalkan Madrid , Letak Tanda Harga

Cristiano Ronaldo telah meminta Real Madrid untuk menetapkan tanda harga ke atas dirinya dengan potensi perpindahan pada penghujung musim 2017-18 ini dengan nilai €100 juta (RM484 juta) atau kurang daripada itu.

Pada masa yang sama, wakil-wakil pemenang lima kali Ballon d’Or itu juga telah mengisyaratkan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United bahawa penyerang itu bersedia untuk berhabis-habisan bagi mengusahakan jalan keluar dari ibu kota Sepanyol itu.

Klausa penebusan kontrak lima tahun yang ditandatangani Ronaldo dengan Real Madrid pada November 2016 masih kekal pada €1 bilion (RM4.84 bilion) – empat setengah kali ganda nilai penebusan Neymar daripada Barcelona sebanyak €222 juta (RM1.07 bilion) sebelumnya.

Namun, kem Ronaldo sedang mengikhtiarkan satu komitmen daripada Presiden Real Madrid, Florentino Perez, agar bersetuju untuk menjual pemain itu pada satu nilai yang lebih munasabah atau kira-kira satu persepuluh atau 10 peratus daripada nilai klausa penebusannya untuk memancing minat PSG atau United.

Akhbar-akhbar Sepanyol mengandaikan hubungan Ronaldo dengan Perez ketika ini sangat dingin, dengan sumber-sumber yang rapat dengan bintang Portugal itu mendakwa ia sudah sampai ke peringkat dia enggan lagi bercakap dengan presiden kelabnya itu.

Punca keretakan hubungan kedua-duanya dikatakan berkisar kepada kepercayaan penyerang berusia 32 tahun itu bahawa Perez telah memungkiri janji untuk menaikkan gajinya pada akhir musim lalu.

Di sebalik Ronaldo telah mengukuhkan statusnya selaku pemain terbaik dengan mengemudi Madrid kepada kejayaan ‘treble’ tahun ini  – LaLiga, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab – di samping meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan FIFA dan Ballon d’Or, gajinya sudah dipintas oleh kedua-dua Lionel Messi dan Neymar.

Rungutan utama Ronaldo ialah pencapaiannya selaku pemain seharusnya dicerminkan oleh gajinya tetapi ia tidak demikian.

Perjanjian kontrak Ronaldo ketika ini yang akan berlanjutan hingga musim panas 2021, merangkumi jaminan gaji kasar tahunan sebanyak £43 juta (RM234 juta). Sebagai perbandingan, Messi difahamkan meraih £44 juta (RM240 juta) setahun selepas cukai.

Di samping itu, dia juga dikatakan meluap-luap dengan amarahnya terhadap Perez gara-gara kurangnya rasa hormat presiden kelabnya itu dalam majlis penyampaian anugerah Ballon d’Or di Paris, awal bulan lalu.

Dalam majlis yang memberi pengiktirafan tertinggi buat Ronaldo dengan anugerah itu buat kali kelima – menyamai pencapaian Messi – Perez didakwa bersikap berlebih-lebihan terhadap Neymar di hadapan khalayak ramai.

“Berada bersama Real Madrid akan memudahkan lagi ikhtiar untuk memenangi Ballon d’Or,” kata Perez merujuk kepada penyerang PSG itu. “Real Madrid adalah sebuah kelab yang boleh memberikan segala-galanya kepada seorang pemain besar. Semua orang tahu saya mahu menandatanganinya (Neymar) pada satu ketika.”

Sebagai rujukan, Madrid tewas kepada Barcelona untuk mendapatkan Neymar daripada Santos pada 2013. Dan walaupun Neymar sudah menyertai PSG musim panas lalu, bapa pemain itu dikatakan menggalakkan Madrid untuk kembali memikat Neymar bagi musim panas akan datang.

Ditanya mengenai masa depan Ronaldo, pengurus Madrid, Zinedine Zidane, hanya mampu mengungkapkan: “Cristiano – dengan apa yang telah dan sedang dilakukannya – berhak meraih rasa hormat kelab ini.

“Hanya selepas rehat musim sejuk ini, kami akan bercakap mengenainya.”

Seakan-akannya Zidane sendiri tidak lagi berasa pasti.

sumber:- stadium astro

Sumber